Biar diadakan dalam suasana penuh keserderhanaan dan agak santai, anugerah Nasyeed.com yang buat julung kali diadakan tetap berlansung meriah dengan mempertandingkan 11 kategori.
Antara yang bertanding adalah kumpulan Rabbani yang seringkali mengungguli kategori nasyid pada anugerah muzik tempatan.
Bagaimanapun pada majlis anugerah tersebut, daripada sembilan pencalonan, Rabbani hanya berjaya menggondol tiga anugerah sahaja masing-masing bagi kategori Nasyeed Perjuangan, Vokal Terbaik untuk lagu Inikah Petanda dan Anugerah Juara Carta menerusi lagu Bebas Palestin bersama Inteam, Saujana serta Nowseeheart.
Menurut salah seorang anggotanya Azadan Abdul Aziz, Rabbani sedikit pun tidak terkilan dengan perkara tersebut. “Tidak dinafikan barisan peserta yang tercalon pada anugerah ini juga hebat-hebat belaka.
“Namun apa yang lebih penting adalah untuk memartabatkan nasyid itu sendiri di samping memastikan generasi itu terus mendapat perhatian dan terus kukuh dan berkembang pesat.
“Ia juga sebenarnya memberi ruang dan peluang terbaik kepada kami untuk memperbaiki kekurangan sekali gus menghasilkan sesuatu yang berkualiti dalam hasil kerja kami selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis anugerah tersebut baru-baru ini.


